Tuesday 19 May 2009

UMNO TETAP MENANG - SATU ANALISIS

SIAPA KATA UMNO KALAH? HAKIKATNYA UMNO TETAP MENANG

Jika kita meneliti Analisis Kemenangan dan Kekalahan Parti di Semenanjung Malaysia, kita akan menyedari bahawa sebenarnya UMNO masih teguh disanubari orang-orang Melayu dan ternyata mereka menolak calon-calon dari parti Pas dan Pkr. Dap dengan sentimen perkaumannya telah meraih kejayaan besar hasil penyatuan dan undi majoriti orang cina dan india serta sebahagian kecil orang Melayu di kawasan bandar. Dap tidak dapat bertapak di Perlis, Kelantan, dan Terengganu kerana jumlah pengundi cina yang sedikit. Di kawasan bandar di negeri Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka yang dihuni oleh orang cina telah menunjukkan penyatuan cina di bawah Dap. Di negeri-negeri tersebut juga di beberapa kawasan yang mana undi cina dan india menjadi penentu disokong pula perpecahan undi Melayu, telah dimenangi oleh calon-calon Pas dan Pkr. Dalam kawasan yang majoritinya orang Melayu kecuali di Kelantan ternyata orang Melayu telah menunjukkan kesetiaan mereka kepada UMNO dengan mengundi calon-calon UMNO dan BN walaupun calon itu bukan Melayu kerana kita mengamalkan dasar kongsi kuasa bersama-sama kaum lain. Perlis, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor menampakkan kemenangan besar calon-calon UMNO. Calon-calon Pkr dan Pas mengalami kekalahan besar walaupun mereka menggunakan pelbagai taktik seperti mencerca, memfitnah, menghasut dan mengancam bagi menjatuhkan calon-calon UMNO. Perjuangan UMNO yang sebati dengan perjuangan Melayu masih utuh bagi membela nasib bangsa Melayu yang telah digadai oleh Pas dan Pkr.

HURAIAN ANALISIS KEMENANGAN DAN KEKALAHAN PARTI DI SEMENANJUNG MALAYSIA

Di Perlis, UMNO menang dikesemua 3 kerusi Parlimen dan 12 (92.31 %) daripada 13 kerusi DUN . Pkr pula telah tewas dikesemua kerusi DUN dan Parlimen yang ditandinginya. Pas juga kalah 100 % kerusi Parlimen dan hanya menang 1 (8.33 %) kerusi DUN manakala 11 lagi calonnya (91.67 %) telah kalah daripada 12 kawasan yang ditandinginya.

Di Kedah, UMNO menang 4 (30.77 %) daripada 13 kerusi Parlimen yang ditandingi dan hanya menang 13 (40.62 %) daripada 32 kerusi DUN yang disertai. Pas pula menang 6 (75 %) daripada 8 kerusi yang ditandingi di peringkat Parlimen dan 16 ( 66.67 %) daripada 24 kerusi DUN yang ditandinginya. PKR hanya menang 4 (40 %) daripada 10 wakilnya di kerusi DUN dan 6 (75 %) daripada 8 calonnya di peringkat Parlimen. Dap pula menang 1 (50 %) daripada 2 calon yang diletakkannya bagi merebut kerusi DUN.

Di Kelantan, UMNO mengalami kekalahan yang agak besar yang mana 2 (14.29 %) daripada 14 calonnya menang di kerusi Parlimen dan hanya 6 (13.95 %) daripada 43 calonnya menang bagi kerusi DUN. Pas sekali lagi dapat mentadbir Kelantan kerana 37 (94.87 %) daripada 39 calonnya menang bagi kerusi DUN dan 9 (81.82 %) daripada 11 calonnya pula menang di kerusi Parlimen. Walaupun Pkr menang 100 % apabila ketiga-tiga calon Parlimennya menang tetapi di peringkat DUN, 4 (80.0 %) daripada 5 calonnya telah kalah di tangan UMNO.
Rakyat Terengganu yang telah serik dengan pemerintahan Pas sekali lagi memberikan kemenangan besar kepada calon-calon UMNO. 7 (87.5 %) daripada 8 calon UMNO telah menang di peringkat Parlimen dan 24 (75.0%) daripada 32 calon menang di peringkat DUN. 5 (83.33 %) daripada 6 calon Pas kalah di peringkat Parlimen dan hanya 8 (29.63 %) calonnya menang daripada 27 kerusi DUN yang ditandinginya. Malang buat Pkr apabila kesemua calonnya di peringkat Parlimen (2) dan DUN (5) kalah di Terengganu.

Walaupun Pulau Pinang terlepas kepada Pakatan Rakyat pada PRU ke-12 ini tetapi calon-calon UMNO telah menang 11 (84.62 %) daripada 13 kerusi yang ditandingi di peringkat DUN dan 2 (50.0 %) telah menang di peringkat Parlimen. Pas hanya menang 1 (20.0 %) kerusi DUN kerana 4 (80.0 %) calonnya kalah di tangan UMNO. 2 calon Pas yang bertanding kerusi Parlimen juga tewas di tangan calon-calon UMNO. Pkr pula menang 9 (56.25 %) daripada 16 kerusi DUN yang disertainya. Walaupun begitu hanya 3 daripada 9 calon tersebut adalah calon Melayu. Di peringkat Parlimen Pkr menang di semua kerusi (4) yang ditandinginya. Dap menampakkan kejayaan yang luar biasa apabila semua calonnya di peringkat DUN (19) dan Parlimen (7) telah menang.

27 (81.82 %) daripada 33 calon UMNO menang bagi kerusi DUN manakala 8 (72.73 %) menang bagi kerusi Parlimen di Perak. Ini membuktikan bahawa calon-calon UMNO masih mendapat sokongan padu rakyat Melayu di Perak. Walaupun Menteri Besar Perak yang baru dipilih dari Pas tetapi Pas hanya menang 6 (28.57 %) daripada 21 kerusi DUN yang ditandinginya dan 2 (28.57 %) daripada 7 calonnya di Parlimen. Daripada 7 (35.0 %) calon Pkr yang menang bagi kerusi DUN di Perak hanya 1 sahaja berketurunan Melayu. 13 (65.0 %) calon Pkr kalah di kawasan DUN. Pkr hanya menang 3 (30.0%) daripada 10 calonnya di peringkat Parlimen. Seperti mana di Pulau Pinang, kesemua 18 calon Dap di Perak bagi kerusi DUN telah menang tetapi 1 (30.0 %) daripada 8 calonnya kalah di peringkat Parlimen iaitu bagi kawasan P70 Kampar.

Pahang merupakan kubu kuat UMNO yang masih lagi tidak dapat direbut oleh pakatan rakyat. 29 (93.55 %) daripada 31 calon UMNO menang di peringkat DUN dan 9 (90.0 %) daripada 10 calonnya menang di peringkat Parlimen. Pas yang begitu rakus dan yakin dapat menawan Pahang terpaksa menerima hakikat bahawa hanya 2 (9.52 %) daripada 21 calonnya menang kerusi DUN manakala kesemua 6 calonnya kalah di peringkat Parlimen. Pkr pula hanya menang 2 (33.33 %) daripada 6 kawasan Parlimen yang ditandingi. Kesemua calon Pkr (14) telah tewas kepada calon-calon UMNO dan BN bagi merebut kerusi DUN. 2 calon Dap yang bertanding di kerusi Parlimen telah tewas manakala 5 (71.43 %) daripada 7 calonnya kalah di peringkat DUN.

UMNO yang meletakkan 5 calonnya bagi merebut kerusi-kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan telah menang 3 ((60.0 %) iaitu bagi kerusi P118 Setiawangsa, P125 Putrajaya, dan P126 Labuan. Majoriti pengundi di kawasan tersebut ialah orang Melayu / Bumiputera. Pas pula hanya menang 1 (33.3 %) daripada 3 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Pkr pula menang 4 (80.0 %) daripada 5 calonnya. Kemenangan ini diperolehi disebabkan sebahagian besar pengundi cina dan india mengundi Pkr semata-mata bertujuan memecahkan perpaduan Melayu. Orang Melayu tetap mengundi calon-calon UMNO dan BN. Di kawasan majoriti kaum cina di Kuala Lumpur Dap telah menang kesemua 5 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Mereka telah menolak Parti MCA dan Gerakan yang bekerjasama dengan UMNO.

Selangor merupakan salah sebuah negeri yang dikuasai pakatan rakyat selepas PRU ke-12 yang lalu. Walaupun begitu prestasi UMNO tidaklah seburuk yang digembar-gemburkan. UMNO masih menang 18 (51.43 %) daripada 35 kawasan yang ditandinginya di peringkat DUN dan 4 (40 %) daripada 10 kawasan yang ditandingi di peringkat Parlimen. Jika dibandingkan dengan Pas, parti itu kalah 12 (60 %) kawasan DUN daripada 20 kawasan yang ditandingi dan kalah 3 (42.86 %) daripada 7 kawasan Parlimen yang disertainya. Walaupun Pkr menang 15 (71.43 %) daripada 21 kawasan DUN yang ditandingi, 5 daripadanya ialah calon-calon kaum cina. Pkr juga menang 9 (81.82 %) daripada 11 kawasan Parlimen yang ditandingi. Kesemua 4 calon Dap yang bertanding kerusi Parlimen di kawasan yang majoritinya kaum cina telah menang tetapi 2 (13.3 %) daripada 15 calon DUN yang ditandingi telah mengalami kekalahan.

Negeri Sembilan tidak mampu dirampas oleh pakatan rakyat walaupun sebahagian besar kaum cina telah mengundi pembangkang. Ini dibuktikan daripada kemenangan kesemua 5 calon UMNO di kawasan Parlimen dan 19 (86.36 %) daripada 22 calon UMNO di kerusi DUN. Pas mengalami kekalahan teruk apabila 12 (92.31 %) daripada 13 calonnya kalah kerusi DUN dan kesemua 3 calonnya tewas di peringkat Parlimen. Begitu juga Pkr yang hanya menang 4 (33.33 %) daripada 12 calonnya di kerusi DUN dan hanya 1 (33.33 %) daripada 3 calonnya menang kerusi Parlimen. Dap yang sememangnya mendapat sokongan padu masyarakat cina telah menang kesemua 2 kawasan Parlimen yang ditandingi dan 10 (90.91 %) daripada 11 calonnya di kerusi DUN.

UMNO mencapai kejayaan gemilang di Melaka apabila kesemua calonnya yang bertanding di kawasan DUN (17) dan Parlimen (4) menang disemua kawasan. Pas dan Pkr ternyata tidak diterima oleh umat Melayu di bumi Hang Tuah ini. Kesemua calon Pas bagi kerusi DUN (13) dan Parlimen (1) pulang dengan tangan kosong di Melaka. Perkara yang sama juga berlaku bagi calon-calon Pkr iaitu 7 kawasan DUN dan 3 kawasan Parlimen juga pulang dengan telur ayam. Hanya Dap yang menang 5 (62.5 %) dari 8 calonnya kerusi DUN dan 1 (50.0 %) daripada 2 kerusi Parlimen. Sekali lagi mereka menang di kawasan yang majoritinya adalah kaum cina.

Keputusan PRU ke-12 di negeri Johor amat unik dan menarik. Ini kerana masyarakat cina di Johor tidak terpengaruh langsung dengan fitnah dan hasutan parti pembangkang terutamanya Dap. Ini dibuktikan melalui kekalahan 5 (83.33 %) daripada 6 calon Parlimen dan 8 (66.67 %) daripada 12 calon Dap di kawasan DUN. Pkr langsung tidak diterima oleh sebahagian besar rakyat Johor apabila semua 9 calon DUN dan 9 calon Parlimen Pkr kalah di tangan UMNO dan BN. Pas pula yang berhajat besar mentadbir Johor terpaksa mengakui kekuatan UMNO di Johor. Ini kerana 38 (97.44 %) daripada 39 calonnya kalah bagi kawasan DUN manakala kesemua 9 calon Parlimennya telah tewas. UMNO telah menang besar di kesemua 18 kawasan Parlimen yang ditandingi dan 34 (97.44 %) daripada 35 bagi kawasan DUN di Johor. Ternyata penduduk negeri kelahiran UMNO ini masih berpegang teguh dengan semangat setiakawan Barisan Nasionanl.

Jika kita lihat dari segi keseluruhannya, calon-calon UMNO telah menang 210 (68.63 %) daridapa 306 kerusi DUN yang ditandingi. UMNO juga menang 69 (65.71 %) daripada 105 calonnya di peringkat Parlimen Semenanjung Malaysia. Pas pula hanya menang 81 (34.62 %) daripada 234 calonnya bagi kerusi DUN. Ini bermakna 153 (65.38 %) calonnya telah kalah di peringkat DUN. Di peringkat Parlimen, Pas Cuma menang 23 (35.38 %) daripada 105 calonnya yang bertanding. Selebihnya iaitu seramai 42 (64.62 %) telah kalah kebanyakannya di tangan calon-calon UMNO. Pkr pula yang berkempen bersungguh-sungguh melalui penasihatnya anwar ibrahim hanya menang 40 (32.79 %) daripada 122 kerusi DUN yang ditandingi. Di peringkat Parlimen Pkr yang meletakkan 64 calon cuma menang 31 (48.44 %) sahaja.

Jika dicampurkan jumlah calon Pkr dan Pas di peringkat Parlimen, mereka hanya mempunyai 54 calon sahaja (termasuk calon kaum cina Pkr) dan masih jauh untuk memintas UMNO yang mempunyai 69 kerusi Parlimen. Jika dicampurkan dengan calon-calonnya yang kesemuanya telah kalah di Sabah dan Sarawak bermakna Pkr dan Pas merupakan parti politik Melayu yang mengalami kekalahan besar di dalam PRU ke-12 ini. UMNO masih utuh, kukuh dan teguh walaupun secara berterusan dicemuh, difitnah, dan dinista oleh Pkr dan Pas dalam ceramah-ceramah mereka mahupun di alam siber sebelum PRU ke-12 lalu. Kebenaran telah terbukti bahawa orang Melayu di Semenanjung dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak masih menyayangi dan mencintai UMNO dan Barisan Nasional. Kita besyukur kerana kita masih menang. Kita mesti terus bersatu di bawah payung UMNO dan Barisan Nasional bagi menjamin kemenangan yang lebih besar semasa PRU yang ke-13 nanti. Hentikanlah sengketa sesama kita kerana itulah senjata kemenangan Pas dan Pkr.

SEMOGA ALLAH S.W.T. AKAN TERUS MERAHMATI KITA DEMI AGAMA, BANGSA DAN TANAH AIR TERCINTA. AMIN, AMIN, AMIN YA RABBUL ‘ALAMIN

No comments:

Post a Comment